Pengikut

Ahad, 26 Disember 2010

Cerpen: Cintailah Aku Sayang..Ep.2


Hari ni Balqish merajuk dengan Daniel. Hentah mengapa hatinya begitu sedih. Suaminya tidak membeli pizza yang telah dia minta belikan tadi. “Abang, mananya pizza? Tadikan ayang dah telefon tolong belikan pizza.”kata Balqish sebaik sahaja mencapai briefcase dan kot dari tangan Daniel. Dilihat tiada apa-apa yang dibawa pulang oleh Daniel selain briefcase dan kot.” Abang minta maaf sayang. Abang betul-betul terlupa. Abang banyak kerja hari ni.” Terang Danial. Dia begitu sibuk dengan kerja-kerja di pejabat kerana syarikat tempat dia bekerja akan membuka cawangan baru. Dan berkemungkinan dia akan ditukarkan ke sana sekali gus dia dinaikkan pangkat kepada penolong pengurus. Rezekinya dan Balqish. “Kenapa abang ni, dah tak sayang ayang lagi ker?” Balqish terus naik ke bilik. Mengurungkan diri dalam bilik. Dia begitu teringin nak makan pizza selepas melihat di televisyen. Bukan kanak-kanak sahaja akan terpengaruh dengan iklan di tv, Balqish juga terliur bila tengok iklan pizza. “Sayang, kenapa macam ni? Abang betul-betul terlupa. Bukan abang sengaja.”pujuk Daniel. Balqish masih berkeras. Selama ini, kalau Daniel terlupa membeli barang atau makanan yang diminta oleh Balqish, Balqish tak adalah merajuk. Dia akan senyum dan akan menyuruhnya membelinya esok sahaja. Hari ini, dah lah Daniel penat, pening dengan kerja-kerja di pejabat, Balqish pula merajuk buat hal. “Sayang, abang penat ni. Janganlah macam ni.Senyumlah sikit. Esok abang belikan pizza tu ya.”pujuk Danial dengan harapan Balqish akan reda dengan rajuknya. Tapi tidak. Balqish hanya mendiamkan diri tanpa bersuara.

Danial masuk ke bilik mandi apabila pujukannya tidak berhasil. Badannya letih perlukan rehat. Pening lagi dengan sikap Balqish. Selepas solat, Daniel terus terlelap sebelah Balqish. Balqish juga telah lama tertidur dalam rajuknya.

“Sayang...sayang..bangun. Dah solat subuh belum ni?” Daniel mengejutkan Balqish. Selalunya Balqish yang akan bangun dulu sebelum Daniel. “Senyum sikit sayang.”Daniel masih mahu memujuk Balqish. Dia amat menyayangi Balqish. Bukan niatnya hendak membuatkan hati Balqish sedih. Lega hati Daniel melihat senyuman Balqish. Senyuman itu yang akan dibawanya hingga ke pejabat. Senyuman itu yang membuatkannya bersemangat untuk bekerja setiap hari. “Sayang, tak kerja hari ni?”Tanya Daniel kepada Balqish yang masih berselimut. Lambat saja pegerakannya. Balqish hanya mengangguk.
“Tapi abang tengak sayang macam tak sihat. Ambil MC lah. Biar abang hantar sayang ke klinik.”Pujuk Daniel bila Balqish mula menuju ke bilik air. Dalam bilik air terdengar suara Balqish memuntahkan sesuatu. Daniel cemas.”Sayang...sayang buka pintu. Kenapa ni? Ketukan pintu yang bertalu-talu oleh Daniel tidak diendahkan oleh Balqish. ‘Biar dia tahu, aku bukan merajuk main-main.’kata Balqish dalam hati. Selesai mandi, selamba saja Balqish keluar dari bilik air seperti tiada apa yang berlaku. “Sayang, are you ok?”Tanya Daniel prihatin. Balqish hanya mengangguk kepalanya sahaja. Depan Daniel dia hanya berpura-pura, tetapi sebentar tadi hanya Allah sahaja yang tahu. Bagai nak terkeluar isi perutnya, tetapi tiada apa yang keluar. Yelah dari semalam perut kosong. Ingatkan nak makan pizza, tapi hampa. ‘Apasallah tekak aku loya semacam jer, perut masuk angin agaknya.’teka Balqish. Dia memang tak boleh perut kosong, mulalah macam nak muntahlah, pening kepalalah, macam nak pitam pun ada. Dah biasa bagi Balqish kalau tak sempat makan atau tak makan.

Dalam merajuk, Balqish tetap buatkan air untuk suaminya. ‘Takkan lah nak buat air untuk aku seorang saja. Nampaklah sangat zalim aku ni.’ Tetapi tidak seperti kebiasaannya, Balqish pergi kerja tanpa bersalaman dengan Daniel. Selalunya, Balqish akan menyalami suaminya dan Daniel akan mengucup pipi dan dahi Balqish. Telah menjadi rutin mereka sejak berkahwin, tetapi tidak pada hari ini. Hati balqish masih lagi terasa. Tengoklah sampai bila dia nak merajuk dengan Daniel.

Dalam perjalanan ke pejabat, balqish sempat singgah 7Eleven. Hendak membeli penadol, lepas sarapan nanti boleh makan penadol. Tidak perlu dia ke klinik. Balqish memicit-micit kepala yang masih pening. ‘Minta-minta lepas breakfast oklah kepala ni. Berdenyut-denyut. Rasa nak tercabut pun ada.’ Balqish berkata kepada dirinya sendiri. ‘Dah lah pukul 11 pagi nanti ada meeting. Macamana nak concentrate ni,kalau kepala masih berdenyut-denyut.’ Selepas sarapan, balqish menelan 2 biji penadol. Tetapi masih tidak menunjukkan tanda-tanda kepalanya akan baik, makin pening adalah. “Eh..eh..tadi kau dah telan 2 biji. Ni nak telan 2 biji lagi. Bahaya lah cik kak. Minum air masak banyak-banyak Balqish.” Nasihat kawannya, Hanna.

“Balqish........”jerit Hanna apabila tiba-tiba Balqish pengsan. Baru sahaja Balqish bangun dari kerusinya, badannya rasa nak jatuh, kepalanya berpusing-pusing. Belum sempat dia memegang sesuatu badannya terjelepuk jatuh. “Balqish...Balqish....kenapa ni? Kau tak sihat ker?” Hanna dari tadi gelisah melihat Balqish. Disapu-sapu air ke muka Balqish dengan harapan Balqish akan sedar.”Aku...aku pening lah.” Balqish masih lagi tidak bermaya untuk bangun. “Aku bawa kau ke klinik ya?” Hanna membantu Balqish bangun dan duduk di kerusi. “Tak apalah, aku dah ok, lagipun sekejap lagi dah nak mula mesyuarat.” Dalih Balqish. Dia memang tidak suka ke klinik. Tak tahu kenapa. Rela dia sakit dari pergi ke klinik. “Mana boleh, nanti pengsan lagi. Jom..jom aku papah kau pergi klinik. Lagipun Encik Faris telefon kata mesyuarat ditangguhkan.” Kata Hanna memujuk Balqish. Kadang-kadang Balqish ni keras kepala juga. Harap muka saja lembut, tapi hati keras. Macam batu.

Tiba di tempat parking kereta Balqish bersuara. “Hanna, hantar aku balik sajalah. Aku nak rehat saja. Pening sangat ni. Jumpa doktor pun bukan dia boleh buat kepala aku baik. Dia bagi ubat je.”Balqish masih lagi berdegil untuk ke klinik. “Aku half day, dan aku nak ambil cuti 2 hati. Berehat puas-puas.” Kata Balqish semasa Hanna menghantarnya pulang ke rumah. Hanna tak kuasa nak melayan Balqish yang macam budak kecik. Apa yang dia kata memang kita tak boleh lawan. Degil.Nak menang saja. Tapi Balqishlah satu-satunya kawan baiknya sejak dari universiti. Balqish tak kedekut, suka membantu sebab itu mereka masih berkawan baik. Takdir juga mereka bekerja di tempat yang sama.

“Kau janganlah risau. Aku duduk rumah saja, berehatlah.” Balqish tahu Hanna marah dengannya. Dia memang degil. Tak Nak ke klinik. Membazir duit jer. “Yelah tu. Aku tak fahamlah dengan kau ni. Dah besar panjang macam ni, dah jadi isteri orang pun masih takut pergi klinik. Pergilah klinik, check lah. Manalah tahu aku nak dapat anak buah ke?” Hanna membebel pada Balqish. “Ops...erm anak buah. Balqish hentah-hentah kau pregnant kot.” Hanna meneka. “Mengarut lah kau ni. Aku dah check sendirilah. Tak pregnant lah.Negetif.” Kata Balqish sambil ketawa. ‘Pandai juga Hanna ni. Tak kawin lagi boleh dia kata aku pregnant.’gomel balqish dalam hati. Tapi terfikir juga Blqish, dia buat ujian kehamilan bulan lepas. Bulan ni tak buat pun. Kalau buat tapi tak mengandung, mengecewakan hati, baik tak payah buat. “Oklah, kalau ada apa-apa aku call kau ya.”janji Balqish untuk menyedapkan hati Hanna. “Cik kak oi, buat apa call aku, call lah suami kau tu. Kau ingat kau tu bujang lagi ke macam dulu-dulu. Orang ni juga yang kau telefon temankan pergi shopping lah, ajak balik kampunglah..macam-macam.” Kata Hanna sambil menghidupkan enjin keretanya. Dia perlu segera pulang ke pejabat, ada banyak kerja yang tunggu. ‘Kalau dah siap kerja, dengan senang hati boleh tinggalkan pejabat untuk kerja luar minggu depan.’ Hanna berkata didalam hati.

Bersambung.......

Rabu, 15 Disember 2010

Cerpen: Cintailah Aku Sayang (Kesinambungan dari cerpen Cinta Pertama Vs Cinta Utama) Ep.1


alt="cerpen cinta"






Dengan nama Allah Yang  Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Wanita, akal setipis rambutnya,
Jangankan lelaki biasa,
Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita,
Tanpa mereka, hati dan perasaan lelaki akan resah,
Masih mencari walaupun ada segalanya.
Apa yang tiada dalam syurga,
Namun Adam tetap rindu kan Hawa,
Pada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri,
Dijadikan wanita dari tulang rusuh yang bengkok,
Untuk diluruskan oleh lelaki,
Tapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus,
 Mana mungkin kayu yang bengkok,
Menghasilkan bayang-bayang yang lurus,
Luruskan wanita dengan jalan yang ditunjukkan oleh Allah,
Didikan mereka dari panduan-Nya,
Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta,
Kerana nantinya...mereka semakin liar,
Jangan hiburkan hati mereka dengan kecantikan,
Nantinya mereka akan semakin menderita,
Yang sementara itu tidak kekal,
Kenalkan mereka dengan Allah,
Zat yang kekal, disitu punca bagi kekuatan dunia,
Akal setipis rambut,
Tebalkan dengan ilmu,
Hati separuh kaca, kuatkan ia dengan iman,
Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak,
Sedarkan ia kerana nantinya mereka akan melihat nilaian dan keadilan Allah,
Bisikan ditelinga mereka,
Kelembutan bukan satu kelemahan,
Ia bukan satu diskriminasi,
Tuhan, wanita yang lupa hakikat kejadiannya,
Pasti tidak terhibur dan menghiburkan,
Tanpa ilmu, iman dan akhlak
Mereka tidak akan lurus, malahan akan bengkok,
Itulah akibatnya jika wanita tidak kenal tuhannya,
Bila wanita derhaka dunia,
Lelaki akan huru-hara,
Lelaki jangan pula mengharapkan ketaatan,
Teapi binalah kepimpinan,
Pastikan sebelum mereka memimpin wanita menuju ilahi,
Pimpinlah diri sendiri kepada-Nya,
Jinakkan diri dengan Allah
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu,
Jangan harapkan Isteri semulia Fatimah Az-Zahrah,
Andai peribadi tidak sehebat Saidina Ali.

Amin


Hubungan Balqish dan Daniel semakin hari semakin intim. Hubungan mereka ibarat bercinta selepas kahwin. Mereka saling mempelajari dan mengenali peribadi masing-masing. Saling memberi dan menerima. Menerima kebaikan dan keburukan masing-masing. Balqish juga tidak mudah melatah andai ada sesuatu yang ditegur oleh suaminya. Dia akan fikir kebenaran kata-kata suaminya. Jika benar dia akan terima, tetapi jika sebaliknya, dia akan berbincang semula. Setiap hati mereka tidak lupa menunaikan solat berjemaah bersama-sama. Itu petua kebahagiaan rumahtangga, kata nenek Balqish. Selepas solat Balqish dan Daniel akan bermaaf-maafan, kata Daniel kenapa perlu tunggu hari raya baru nak mohon maaf. Balqish juga setuju dengan cara Daniel.

Pada suatu hari Balqish memberitahu keinginannya melawat ke Perlis dengan menaiki keretapi. Balqish teringin melancong ala-ala kembara. Ingin merasai pengalaman menaiki keretapi. “Abang, Balqish teringin sangat nak pergi Perlis. Di sana banyak tempat yang boleh kita lawat. Tapi Balqis tak nak naik kereta atau kapal terbang. Balqish teringin nak menaiki keretapi. Boleh tak, sayang?” Kata Balqish dengan suara yang lembut. “Erm...boleh sayang..abang tak jadi masalah. Cuma Abang takut Ayang je yang penat.” Daniel sangat teruja dengan cadangan Balqish itu. Dia pun dah lama tidak menaiki keretapi. Seingatnya sewaktu Belajar di Universiti Sains Malaysia dia selalu menaiki keretapi untuk pulang ke kampung.  Itu kali terakhir dia menaiki keretapi. “Kalau itu permintaan Ayang, esok juga abang beli tiket. Tempah awal-awal takut waktu nak pergi tiket kehabisan. Kita juga yang hampa”. Mereka bercadang untuk melancong ke Perlis semasa cuti hujung tahun.

Pada hari yang dirancang, Balqis dan Daniel dengan membawa beg galas kembara menunggu keretapi yang akan ke Perlis di KL Sentral.  Sambil menunggu mereka berkongsi ais-krim. Sangat romantik. Daniel sebenarnya seorang yang romantik cuma tidak pandai tunjukkan kepada Balqish. Sikapnya kini menunjukkan dia betul-betul menyayangi Balqish sepenuh hati. Memang Daniel tidak pandai melayan wanita tetapi sejak berkahwin dengan balqish, Daniel belajar bagaimana mengambil hati Balqish. Orang perempuan ni suka bila lelaki memanjakan mereka. Itu yang Daniel belajar dari sahabatnya. Sedaya upaya Daniel menjaga hati Balqish. Dia tidak mahu Balqish merasa tidak bahagia berkahwin dengannya. Dan menjadi rutin seharian, pulang dari kerja pasti Daniel akan menghadiahkan 3 kuntum bunga ros merah.

Hampir 15 minit mereka menunggu keretapi untuk ke Perlis. Mereka sengaja mengambil keretapi malam, supaya sampai pada pagi esok mereka boleh terus boleh melawat Negeri Indera Kayangan itu. Setibanya mereka di Stesen Keretapi  Padang Besar, perkara utama yang mereka buat ialah mencari kereta untuk disewa. Bagi Daniel kereta perlu disewa untuk memudahkan perjalanan mereka nanti. Mereka juga berhajat menziarahi rakan Daniel yang dikenalinya semasa belajar di USM. Sejak majlis konvokesyen mereka 6 tahun lepas memang mereka tidak pernah berjumpa.

Rupanya Negeri Perlis ni banyak terdapat ladang-ladang tebu. Balqish menjadi teruja dengan permandangan ladang-ladang tebu itu, bagai sawah padi yang terbentang luas. Selama ini, dia hanya melihat tebu yang ditanam secara kecil-kecilan. “Ya Allah, cantiknya permandangan ladang tebu ni ye, sayang.”kata Balqish kepada suaminya. “Perlis ni kan merupakan pengeluar gula utama di Malaysia, memang lah luas ladang tebunya. Hendak menampung keperluan gula rakyat di Malaysia. Itupun Malysia masih mengimport gula dari Negara luar.” Terang Daniel kepada isterinya panjang lebar. Daniel sudah beberapa kali datang ke Perlis. Jadi sedikit sebanyak dia mempunyai pengetahuan mengenai negeri Perlis. Selain itu, perlis merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang bersempadan dengan Negara Thailand. Ini termasuklah negeri kedah dan Kelantan. Sambil meninjau-ninjau ladang tebu tersebut, Daniel mengambil kesempatan menangkap beberapa keping gambar bagi simpanan dan tatapan rakan serta keluarganya.

“Sayang, abang nak bawa ayang pergi membeli-belah di Padang Besar dan Wang Kelian. Abang tahu ayang mesti nak hadiahkan cenderamata dari Perlis untuk kawan-kawan kan. Macam-macam barang yang dijual disana.kata Daniel sebaik mereka masuk ke kereta. “Wah, seronoknya shopping. Jom. Erm berapa kilometre dari sini?” Tanya balqish kepada suaminya dengan perasaan teruja. “kalau dari sini, lebih kurang 30 kilometer. Tidak lah berapa jauh.”terang suaminya. Mereka bercadang untuk membeli-belah di Wang Kelian, kemudia akan menyewa hotel di Bandar Kangar untuk bermalam. Pada keesokan harinya, mereka akan melawat ke Gua Kelam dan Taman Ular.

Pada malam itu, mereka bermalam di rumah kawan Daniel, Amir. Rumahnya terletak di tengah sawah padi. Amir juga sudah bekeluarga dan mempunyai 2 orang anak. “Daniel, nampak berisilah hang sekarang ya. Hati senanglah tu. Hang apa habak?”sapa Amir dengan loghat perlisnya sebaik sahaja Daniel dan Balqish sampai. Untuk ke rumah Amir beberapa kali mereka tersalah masuk. Almaklumlah dah lama Daniel tidak datang ke sini, dia pun ingat-ingat lupa jalan ke rumah Amir. Amir merupakan sahabat baiknya. Mereka satu jurusan dan duduk serumah semasa di USM.” Aku sihatlah. Macam hang nampak ni. Kalu tak sihat, tak sampailah aku ke rumah hang ni.”jawab Daniel. Terikut-ikut dia dengan loghat Amir. “Mana anak hang?”Tanya Amir sebaik dia lihat hanya Daniel dan Balqish sahaja. “Aku mana ada anak lagi lah kawan, belum ada rezeki. Nak berbulan madu lagilah”mendengar jawapan Daniel wajah Balqish berubah. Kenapalah suaminya menjawab macam tu. Bukan mereka merancang dan ingin bersenang-lenang tanpa anak, tapi belum ada rezeki mereka minimang cahaya mata.

Mereka suami isteri telah dijamu dengan masakan yang istimewa. Isteri Amir, Suhada yang masak. Suhada memang pandai memasak. “Sedaplah kari su ni. Dah lama balqish tak makan kari yang sedap macam ni. Nak masak sendiri, Balqish tak pandai. Dah try banyak kali tapi tak juga jadi.”Puji Balqish tentang masakan kari Suhada. “Esok bolehlah belajar denagn Su.”cadang Daniel kepada Balqish. “Boleh ke Su ajar Balqish?” Tanya balqish. “Ala, tak jadi masalah lah.Esok kita masak sama-sama ya.”Kata Suhada yang juga anak mami Penang. Dahlah cantik, pandai masak pula tu. Bisik hati Balqish.

“Nyaman betul udara kat kampung ni kan Su. Rasa nak duduk lama pula. Kalau di bandar dengan asap kenderaan lah, asap kilang lah dan macam-macam. Nak rasa udara nyaman macam ni, mimpilah.” Kata Balqish semasa mereka berborak di tepi sawah. Amir dan Daniel ke bendang. Kata Daniel, dia teringin nak tangkap ikan puyu. Daniel orang bandar manalah pandai tangkap ikan. Kalau tangkap ikan di pasar bolehlah. “ Abang ni kelakar la,orang lain tangkap ikan tak adalah sampai berlumpur seluruh badan.” Ketawa Balqish melihat suaminya dipenuhi lumpur sawah. Konon nak tunjuk hebat depan Balqish, tapi akhirnya tersungkur di tengah bendang. “Oh, Balqish ketawakan abang ya, nak ambik ni.”Daniel mencubit pipi Balqish dengan tangannya yang dipenuhi lumpur.”Apa abang ni, tak senonohlah.” Balqish buat-buat merajuk. Saja nak susik suaminya.

“Jom Balqish, kita masak sama-sama. Semalam kata nak belajar buat gulai kari.” Kata Suhada sebaik sahaja Balqish sampai kepadanya. “Jom, lepas belajar ni bolehlah Balqish masak sendiri. Nak masak special untuk Abang Daniel. Dia suka makan gulai kari ni” Mereka beriringan menuju ke rumah.

Setelah selesai masak, Balqish dan Suhada membawa bekalan makanan ke sebuah pondok terbuka di tepi sawah. Tentu lebih berselera makan di tepi sawah dengan udara yang nyaman ini. “Erm..macamana Daniel? Sedap tak gulai kari yang Balqish masak ni?” Tanya Suhada kepada Daniel. Kalau nak harapkan Balqish memberitahu dia yang masak, jangan haraplah. Dia kata takut tak sedap. Malu saja. Berkerut-kerut dahi Daniel merasa gulai kari masakan isteri tersayang. Dalam hati Balqish tak keruan, sedap ke tidak. Kalau tak sedap, malu saja. Kalau depan Daniel saja tak apalah. Ni tak. Depan Amir.Malulah kalau tak sedap.”Erm.....kurang sedaplah”kata Daniel sambil matanya menjeling Balqish. Saja dia nak melihat reaksi Balqish. Muka Balqish sudah bertukar masam. Mungkin kecewa masakan dia tak sedap lagi.”Ala,dah masam muka. Sedaplah gulai kari ayang ni. Jangan lah ambil hati, abang gurau saja tadi” kata Daniel lebih kepada memujuk Balqish. Memang sejak akhir-akhir ni Balqish memang cepat terasa dan merajuk. Masa mula-mula kahwin tak Nampak lah sikapnya ini. Mungkin Balqish baru nak menunjuk sikapnya yang sebenar. Nak selalu dimanjai, kuat merajuk dan mudah terasa. Amir dan Suhada yang melihat mereka hanya ketawa. Gembira hati mereka bila pasangan dihadapan mereka ini bergurau senda.

“Amir, Suhada terima kasih banyak-banyak. Kami datang sini hampa berdua layan kami baik sangat.” Kata Daniel kepada Amir dan Suhada. “Kalau hampa berdua nak datang Bangi, boleh bermalam rumah kami. Boleh kami bawa hampa berdua melawat Putrajaya.” Daniel mengajak Amir dan Suhada datang ke rumahnya pula.

Bersambung....

Isnin, 13 Disember 2010

Cerpen: Cinta Pertama Vs Cinta Utama Ep.4


Dalam kesesakan orang ramai berpusu-pusu di Pesta Buku Antarabangsa PWTC, kelihatan Ashraf membelek-belek buku agama di gerai Telaga Biru. Setiap tahun dia pasti akan meluangkan masa dihujung minggunya mengunjungi pameran tersebut. Seingatnya 3 kali dia datang ditemani Balqish. “Isy..asyik ingat Balqish lagi. Itulah siapa suruh datang sini. Kan dah ingat dia.” kata Ashraf didalam hati. Ashraf memilih sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk ‘Murabbi Cinta’. Selesai membayar, dia berhajat mengunjungi gerai lain pula. Ashraf adalah penggemar majalah Ujang, mungkin ada majalah ujang keluaran yang lepas masih belum dibacanya.

“Eh..sorry. Awak nak majalah ni juga ker?” Tanya Ashraf kepada seorang gadis. Mereka memegang majalah yang sama. Majalah Ujang keluaran Bumper yang masih belum dibacanya. “Tak apalah. Ambil jerlah.” Kata gadis itu seraya mengambil majalah lain.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, fikirannya melayang teringat Balqish. Puas dia menangis waktu Balqish membawa berita balqish akan bertunang. Memang di depan Balqish dirinya nampak tenang namun di dalam hati lelakinya dia menangis. Malam itu, 3 kali Ashraf membaca surah Yaasin untuk menenangkan dirinya. Sehinggakan rakan serumahnya menyangka ada musibah yang berlaku kepada keluarganya. “Ashraf, lain macam je aku tengok kau. Ada sesiapa meninggal ker? Sampai 3 kali baca Yaasin.” Kata Mail rakan serumahnya.”Tak ada apa-apalah” Ashraf masih mahu menyembunyikan kisah sedihnya. “Oklah,aku tidur dulu.Eh..eh...mana gambar awek kau. Aku tengok dulu bukan main besar kau tampal kat dinding tu.” Terlihat-lihat Mail di sekeliling bilik Ashraf. “Aku simpan dalam albumlah. Sibuk lah kau ni.” Ashraf memujuk hatinya, dia pasrah andai Balqish bukan jodohnya. Dia juga bukan tidak pernah berusaha memujuk Balqish untuk memilihnya. Dia pernah memberi Balqish CD yang mengandungi lagu-lagu cinta dengan harapan Balqish menolak pinangan itu dan memilihnya. Namun suratan takdir Balqis bukan jodohnya.

‘Biar berjuta tangan menghalang...namun cintaku tetap padamu...Biar berjuta tangan menghalang...namun cintaku tetap padamu....’ Ashraf akan mendengar lagu-lagu yang pernah diberikan pada Balqish. Memang dia membuat salinan CD tersebut. Termasuklah lagu yang sedang didengarnya ‘Bias Cinta’ dari kumpulan Desire. Selain lagu itu, lagu yang paling Ashraf ingat dan bermakna pada dirinya adalah lagu ‘Titian Hasrat’dan ‘Bila diburu kenangan’ dari kumpulan Samudera. Lagu tu memang dia tujukan pada Balqish dengan harapan Balqish memahami hati dan perasaannya. Tapi sayang, memang jodohnya bukan dengan Balqish.Dia pasrah dan reda jika itulah takdirnya.

Sedang asyik Ashraf melayan perasaan.”Ya Allah, macamana pula tak perasan lampu dah merah. Tak pasal-pasal terlanggar kereta orang.” Tanpa Asyraf perasan lampu isyarat telah bertukar merah keretanya telah melanggar kereta lain. Dia berhenti dibahu jalan. Dia harus bertanggungjawap atas apa yang telah berlaku. “Maaflah cik, saya tak perasan lampu dah merah. Tak sempat saya nak perlahankan kereta saya.” Tutur Ashraf. Menyesal dengan apa yang berlaku. “Eh, cik ni yang saya jumpa di Pameran Buku tadikan. Di gerai majalah Ujang kan.” Kata Ashraf terkejut. Gadis itu adalah gadis yang berebut majalah yang sama dengannya tadi. Gadis itu hanya memandang sayu pada keretanya. Alamak, kereta barulah. “Oklah, macam nilah, cik. Kalau cik nak saya bayar segala kerosakan kereta cik, cik boleh telefon saya.” Ashraf memberi nombor telefonnya kepada gadis tadi. ”Masalahnya saya langsung tak tahu pasal kereta. Hendak baiki di mana. Risau juga kalau kena tipu. Baru sebulan saya pakai kereta ni.” Terang gadis tersebut. Ashraf bersetuju membawa gadis tersebut ke bengkel kawannya di Kajang. Disebabkan hari telah lewat, kereta gadis tersebut tidak dapat disiapkan. “Ashraf, sorrylah kereta kawan kau ni tak dapat aku buat sekarang. Suruh dia letak disini dulu, esok petang datang ambil semula.” Terang Amir rakan baiknya. Ashraf menghantar gadis tersebut pulang ke rumahnya. Kebetulan mereka sehaluan, gadis tersebut juga tinggal di Serdang. “Erm...lupa pula nak bagitahu nama saya, Ashraf. Cik?” Tanya Ashraf sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta. “Panggil saya Ain saja. Nama dalam IC Nurul Ain.” Pada pandangan mata Ashraf Ain cantik, secantik namanya. Cuma badannya sedikit gempal. ‘Sudah berpunya ke belum ya gadis sebelah aku ni?’ Ashraf berkata didalam hati.Tapi kalau sudah bersuami, tentu dia tidak setuju Ashraf menghantarnya. Tentu dia akan menelefon suaminya atau tunangnya. Setidak-tidak pun teman lelakinya. Ashraf bukan terdesak mencari teman wanita, tapi sekurang-kurangnya ada juga tempat dia bercerita dan berkongsi cerita. Dapat juga dia melupakan Balqis. Walau begitu payah dia membuang perasaan sayangnya pada Balqish, dia harus kuat. Buat apa mengenang isteri orang. Bukan tidak ada gadis dalam dunia ini.

“Terima Kasih, Ashraf. Menyusahkan Ashraf saja. Ingat nak minta tolong rakan serumah Ain tadi, tapi dia sedang bercuti. Terima kasih ya.” kata Ain sebaik sahaja tiba dihadapan rumahnya. “Ish..tak ada masalah lah. Kebetulan Ashraf pun tinggal di Serdang.” Sebelum Ain masuk ke rumahnya, Ashraf menawarkan diri untuk membawanya mengambil kereta Ain esok. “Ain, esok pergi ambil kereta dengan siapa? Kalau tak keberatan boleh Ashraf hantarkan ke bengkel.” Harapan Ashraf agar dia dapat bertemu lagi dengan Ain. Hatinya mahu mengenali gadis tersebut. “ Menyusahkan Ashraf saja, tak apalah. kalau tak ada sesiapa yang boleh hantar Ain. Ain telefon Ashraf ya.” Janji Ain. Ashraf terkilan tapi menaruh harapan agar Ain menelefonnya.

‘....Farhana..oh..farhana...kau cantik tapi berbisa..’Nyaring bunyi telefon Ashraf. Ashraf sengaja menguatkan volumn telefon bimbitnya. Dia bekerja dengan mesin-mesin yang bebunyi kuat. Jadi terpaksalah dia menguatkan volumn telefonnya, manalah tahu waktu-waktu begini maknya akan telefon. “Assalamualaikum.hello! Cakap kuat sikit.” Jerit Ashraf.”Ni Ain. Ingat lagi tak?” Ain pun turut menguatkan suara. Nasib baik dia berada dalam tandas, kalau tidak satu pejabat dengar suaranya yang kuat tu.”Ha..a, ingat...ingat.” perbualan yang terhad disebabkan bunyi mesin yang terlalu kuat. “Ok..Ashraf ambil Ain lepas kerja. Pukul 5.30 ya. Ok?” Ain menelefonnya pagi itu untuk mengajak Ashraf mengambil keretanya di bengkel. Ain mengambil cuti separuh hari. Kalau tak ambil cuti mana sempat nak ambil kereta. Waktu pejabat habis pukul 5. Nak naik komuter lagi.  Sesak dengan orang ramai lagi. Perjalanan dari stesen komuter Bandaraya ke Serdang ambil masa sejam. Memang tak sempat.

“Ain kerja di mana? Tanya Ashraf yang ingin mengenali Ain dengan lebih dekat lagi. “Ain kerja di Bank Islam dekat Jalan Raja Laut, KL.” Jawab Ain sambil membetulkan tudungnya yang agak berserabut.”Ait, cepatnya sampai rumah. Habis kerja bukan ke pukul 5. 5.30 dah sampai rumah. Tanya Ashraf kehairanan. Ain memberitahunya dia mengambil cuti separuh hari bertujuan untuk mengambil keretanya.

Sejak pertemuan itu, Ashraf sering menelefon Ain. Ashraf tahu Ain masih belum berpunya, apa salahnya mereka berkawan. Andai ada jodohnya dengan Ain dia terima. Syukur masih ada lagi insan yang dapat memberi kebahagiaan kepadanya. Dengan Ain dia bertukar-tukar cerita. Dari hal kerja hingga kepada hal keluarga. Ain merupakan anak yatim yang kematian bapa sejak di tingkatan 5. Ain dan 5 orang adiknya dibesarkan oleh ibunya. Ibunya banyak berkorban menyekolahkannya hingga mendapat segulung ijazah. Sehingga kini, Ain tidak pernah lupa mengirimkan duit perbelanjaan untuk ibunya di kampung.

Walaupun Ashraf baru 3 bulan mengenali Ain, tapi dia sudah berhajat menjadikan suri hidupnya. Dia takut  akan kehilangan Ain. Dia takut perkara yang sama berlaku semasa berkawan dengan Balqish.

Suatu hari mereka bertemu, Ashraf menyatakan hasratnya itu kepada Ain. “Ain, Ashraf ingin jadikan Ain teman hidup Ashraf. Ashraf ingin jadikan Ain suri dalam hati Ashraf. Kalau Ain setuju, sudikah ain terima lamaran Ashraf dan Ashraf akan hantar rombongan meminang.” Tutur Ashraf yang agak bercelaru. Ashraf takut hajatnya tidak diterima Ain. Ashraf takut Ain kata dirinya tergesa-gesa dan tak sabar. Bagi Ashraf, setakat yang dia kenal tentang peribadi Ain, dia boleh terima seadanya. Andai suatu hari ada sesuatu tentang Ain yang tidak disukainya, dia akan tegur. InsyaAllah, Ain seorang yang mudah dibentuk. Ashraf percaya jika perkahwinan  tanpa syarat pasti membuahkan kebahagian kepadanya. Ain hanya mengangguk tanda setuju dengan lamaran Ashraf itu. Ain percaya Ashraf seorang yang bertanggungjawab dan tidak akan sia-siakan hidupnya.

Ashraf dan Ain bersetuju mereka bertunang pada hari keempat hari raya nanti. Pada ibunya, Ashraf menyampaikan hajatnya memperisterikan Ain. Dia meminta Ibunya menghantar rombongan.”Mak, mak boleh tolong Abang tak? Pinangkan Ain untuk Abang.” Ashraf membahasakan dirinya Abang dengan ibunya. “Ain yang Abang bawa hari tu ke? Baguslah, baik budaknya. Pandai masak, pandai ambil hati.” Ashraf memang rapat dengan ibunya. Maklumlah itulah seorang anak lelaki yang ibunya ada. “Alhamdulillah, dah terbuka hati anak teruna mak seorang ni berkahwin. InsyaAllah, mak dan abah bagitahu Mak Ngah dan Pak Ngah, kita pergi meminang Ain.” Kata ibunya sambil mengusap-usap rambutnya. Ashraf memang anak manja. Abahnya dari tadi hanya mendengar saja bersuara.”Abang dah cukup duit ke nak kahwin?” Walaupun dia tahu anaknya seorang yang suka menyimpam duit tetapi belanja kahwin zaman sekarang kena ambil kira. “Alhamdulillah, abah. Abang rasa dah cukup duit abang dalam simpanan. Abah janganlah risau.” Jelas Ashraf. Ambil berat juga abahnya. Abahnya memang tak banyak cakap, sebab itu dia lebih rapat dengan ibunya.

Hari yang dijanji telah berlalu. Kini Ashraf tidak sunyi lagi. Hidupnya kini ceria. Ain kini sah menjadi tunangnya. Tapi ingatannya pada Balqish masih belum terpadam. Mampukah dia membuang segala kenangannya bersama Balqish. Mampukah Dia menjadi suami yang terbaik untuk Ain. “Ya Allah. Berilah aku kekuatan untuk mengharungi semua ini. Berilah kebahagian kepada aku dan Ain tanpa ada bayangan Balqish.”

Tempoh pertunangan yang telah dipersetujui oleh keluarga Ashraf dan Ain hanya 6 bulan. Itu adalah pemintaan Ashraf. Perasaan takut kehilangan masih terasa. Dia kehilangan Balqish yang dicintai. Dia tidak mahu kehilangan Ain pula. Walaupun dia sedar cintanya pada Ain tidak setanding cintanya pada Balqish. Namun dia berjanji akan menjadi suami yang terbaik untuk Ain. Dia juga mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Kehilangan Balqish menyedarkannya tentang hakikat kehidupan. Tentang cinta agung Allah swt. Cinta utama dan cinta hakiki hanya padamu. “Ya Allah....PadaMu ku bersujud memohon agar kehidupanku dilimpahi rahmatMu dan kebahagiaan....”

Cerpen; Cinta Pertama Vs Cinta Utama Ep.3


Hari-hari yang dilaluinya sebagai tunangan orang tidak menggembirakannya, dia sentiasa mengingati Ashraf. Tapi apakan daya, perhatiannya harus lebih kepada Daniel. Walaupun hatinya tidak ikhlas menerima Daniel, segala perancangan yang di rancang oleh Daniel, Balqish turuti. Termasuklah untuk menghadiri kursus perkahwinan dan membeli kelengkapan hantaran. Balqish perlahan-lahan memujuk hatinya untuk menerima Daniel. Daniel juga lelaki yang baik. Mempunyai keluarga yang baik-baik. Ibu bapanya orang yang dihormati. Apa yang Balqish inginkan? Daniel juga tidak betah meninggalkan solat dan sentiasa berjemaah di masjid. Mungkin, Ashraf merupakan cinta pertama Balqish menyebabkan dia begitu sukar melupakan Asraf.  Andai Daniel tidak sempurna, adakah dirinya sempurna. Dia belajar menerima Daniel dalam hidupnya. Buku-buku motivasi dan buku agama adalah pengubat kesedihannya. Dia ingin bangun tanpa mengingati kisah-kisah sedih.

 Teringan Balkish akan kata-kata Dr HM Tuah dalam sebuah buku motivasi, “Bukan semua yang menggembirakan hati kita baik untuk kita. Kadang-kadang yang menggembirakan itu tersembunyi derita. Dan bukan semua yang memualkan hati kita tidak baik untuk kita. Kadang-kadang di situlah letaknya bahagia.”. Kata-kata itulah yang memberi motivasi kepada Balqish supaya meneruskan kehidupan yang bakal dibina bersama Daniel. Balqish redha atas takdir Allah, andai Daniel adalah jodohnya dia pasrah. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Kini hampir 5 bulan Balqish menjadi isteri kepada insan yang bernama Ahmad Daniel. Saat Daniel melafazkan akad, saat itulah dia berjanji akan membuang segala perasaannya terhadap Ashraf. Dia berjanji pada dirinya akan menyayangi suaminya dengan sepenuh hati. Tiada lagi kisah sedih yang ada hanyalah impiannya menjadi isteri yang solehah dan membina keluarga yang bahagia. Dia ada terbaca dalam sebuah buku, antara ciri-ciri wanita solehah ialah mentaati dan menyayangi suaminya. Dan kini cinta pertamanya bertukar menjadi cinta utama. Cinta kepada Yang Maha Esa.Hanya pada Allah dia memohon agar rumahtangganya sentiasa bahagia. Amin.

Bersambung....

Cerpen: Cinta Pertama Vs Cinta Utama Ep.2

Dengan tangisan yang masih berbaki, Asraf memujuk Balqish. Mungkin lebih kepada memujuk hatinya yang telah terluka. “Lepas ni, Ashraf nak jumpa Balqish lagi. Boleh?” Nada suara Ashraf menahan sebak. Balqish hanya mampu menganggukkan kepala. Dia masih sayangkan Ashraf. Dia tidak ada orang lain selain Ashraf. Tapi bila perhubungan mereka bertukar hanya sebagai sahabat, hati dan perasaan Balqish lebih tenang. Tidak terlalu mengharapkan apa-apa daripada Ashraf. Dia yakin kalau Allah swt telah tetapkan jodonhnya dengan Ashraf, itulah jodohnya. Tidak lari kemana. Itulah yang terbaik yang ditakdirkan. Jika jodohnya dengan insan lain, dia berserah. Malam itu, Balqish bangun dari tidur bermunajat kepada Yang Maha Esa, Yang maha Pengasih dan Pemurah, memohon ketenangan jiwa, memohon petunjuk agar keputusan yang diambil membawa seribu satu hikmah.



‘Andaiku tahu kapan tiba ajalku...’ tiba-tiba telefon Nokia Balqish berbunyi. Tertera nama ‘Abah’ di skrin telefon bimbitnya. “Ait,ada apa abah telefon. Baru saja orang telefon dah abah telefon semula.” Mengomel balqis sambil menekat butang pada telefonnya. “Waalaikumusalam, kenapa abah telefon Balqis.” Terdiam Balqis bila abah membawa berita bahawa anak sahabat abahnya mahu meminangnya. Terkedu pun ada. Dia masih sayangkan Ashraf dan dalam waktu yang sama tidak mengharapkan apa-apa daripada Ashraf. Ashraf pula tidak pernah berjanji apa-apa dengannya, cuma berkata jika ada jodoh, dia akan memperisterikan Balqish.



Esoknya, Balqish ke tempat kerja Ashraf. Ashraf hanya tersenyum mendengar berita yang diberitahu oleh Balqish. “Baguslah dah ada orang yang meminang, melepaslah Ashraf kan. Lagipun berkat kalau orang tua yang pilihkan jodoh untuk kita.” Asraf tenang bersahaja. Tetapi didalam hati hanya tuhan yang tahu betapa hancurnya hati dan kecewanya bila bunga yang dipuja hendak diambil orang. “Tapi Balqish ada masa lagikan, boleh bagitahu abah yang Balqish tolak pinangan tu” kata Balqish tersedu-sedu. Tangisannya tidak tertahan sebaik sahaja menatap wajah Ashraf yang tenang itu. Ini membuatkan hati Balqish tekad tidak mahu menerima pinangan itu. “Ashraf harap Balqish dapat buat keputusan yang betul dan terbaik. Balqish, kalau Balqish nak tahu dalam hati Ashraf ni tak ada orang lain selain Balqish. Hanya balqish yang ingin Ashraf jadikan isteri.” Pujuk Ashraf dengan harapan Balqish memihak kepadanya. Memilihnya dan menolak pinangan anak sahabat abahnya.



Balqish tekad pulang ke kampung memujuk abah dan ibunya supaya menolak pinangan itu. Memandangkan hari sudah malam, Balqish merancang pulang ke kampung pada esok pagi, selepas subuh. Pada malam itu, Balqish tidak dapat melelapkan mata. Hanya membaca ayat suci Al-Quran beiringan dengan tangisan Balqish. Balqish rasa tenang membaca ayat dari Al-Quran itu. Al-Quran yang dihadiahkan oleh Ashraf pada hari lahirnya. Juga telekung yang dipakainya adalah pemberian Ashraf. ‘Ya Allah, mengapakah aku menjadi insan yang lemah, menangis kerana seorang lelaki. Berilah aku kekuatan, Ya Allah.’doa balqish dalam solatnya.



Pertama kali Balqish memandu kereta miliknya berseorangan pulang ke kampung. Setelah 4 jam memandu Balqish terus mendapatkan mak dan abahnya. “Abah..ibu, Balqish tak nak bertunang. Ibu dan abah tolaklah pinangan tu....Balqish, Balqish dah ada kawan lelaki, Ashraf.” Tersedu-sedu Balqish menagis dipangkuan ibunya.

“Apa yang Balqish cakap ni? Ibu dan abah dah setuju rombongan Daniel datang lepas raya haji. Janganlah malukan ibu dan abah, Balqish.” Abah juga memujuk supaya menerima lamaran Daniel. Abah yang banyak berbicara dan memujuk. Mungkin dia benar-benar mengharap agar Balqis menerima pinangan itu. Akhirnya hati Balqish terpujuk bila mengingati pesanan ustazahnya dahulu. ”Redha Allah terletak pada Redha ibubapa”. Mungkin kalau Balqish mengikut kata dan nasihat Ibu dan abahnya, kehidupannya nanti sentiasa diberkati Allah swt. Itulah yang Balqish inginkan. Hidup sentiasa diberkati Allah. Hidup sentiasa tenang. “Ya Allah, ampunilah dosaku.Berilah ketenangan dan ketabahan kepadaku dalam mengharungi dugaan ini. Aku inginkan keredaanMu dan keredaan kedua ibubapaku.” Doa Balqish di dalam hati.

Balqish pulang ke Bangi dengan pelbagai perasaan. Separuh hatinya mengikut kata dan nasihat ibu dan abahnya. Separuh lagi masih menyayangi Ashraf, masih mengingati Ashraf dan masih mengharapkan jodohnya bersama Ashraf. Ashraf lelaki yang baik. Adakah Balqish akan gembira melukakan hati Ashraf. Tapi itu bukan niatnya. Hanya tuhan yang tahu perasaannya.



Bersambung......

Cerpen: Cinta Utama Vs Cinta Pertama Ep. 1



Cinta pertama vs Cinta Utama. Orang kata cinta pertama memang sukar dilupakan. Mungkin betul, tapi mana yang lebih penting cinta pertama atau cinta utama? Bagi Balqish dia tidak pernah lupa cinta pertamanya. Cinta pertama setelah membuka pintu hati untuk dimiliki oleh seorang yang bernama lelaki. Balqish mengenali Muhammad Ashraf semasa menjalani latihan praktikal di Serdang. Daripada sahabat biasa,perasaan berubah menjadi rindu. Bibit cinta mula berputih dihati Balqis dan Ashraf. Bagi Balqish memang dia berjanji pada dirinya dia hanya akan bercinta selepas menggenggam segulung ijazah. Hadiah yang paling berharga untuk kedua orang tuanya. Kerana merekalah Balqis boleh sampai ketahap sekarang.



Ashraf lelaki biasa yang hanya berkelulusan SPM dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang. Walupun Ashraf hanya lelaki biasa yang tidak mempunyai pendidikan tinggi,namun Balqish selesa berkawan dengannya. Bagai ada keserasian antara mereka. Apa yang Balqish suka tentang Ashraf ialah kerana sifat kerendahan dan ketakwaan yang dimiliki oleh Ashraf. Seringkali Ashraf mengingatkan Balqis supaya jangan sesekali meninggalkan solat dan sentiasa menjaga kedua ibubapa. Kadang-kala Ashraf mengingatkannya tentang puasa sunat.



Hampir setiap bulan mereka bertemu. Tapi tidak pernah sekalipun Ashraf mengambil kesempatan menyentuh Balqish walau hanya memegang tangan. Ashraf dan Balqish mahu menjaga hubungan mereka. Mereka mahu menjaga batas-batas pergaulan antara mereka selagi tidak diijabkabulkan.



Suatu hari, Balqish menyuarakan apa yang terbuku dihatinya tentang hubungannya dengan Ashraf. “Ashraf, boleh Balqish tanya sesuatu? Kata Balqish sambil tertunduk malu. Menahan perasaan malu bertanyakan soal hati kepada Ashraf. Wajarkah seorang gadis bertanyakan soal hati dengan seorang lelaki? Tapi jika Balqish tidak bertanya manakan dapat jawapannya. “Erm...Balqish nak tanya apa? Tanyalah. Kalau ashraf boleh jawab,Ashraf jawab.” Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan berdebar Ashraf. Apakah soalan yang hendak ditanya oleh Balqish terhadapnya. “Erm,sebenarnya Balqish malu nak tanya,tapi Balqish perlu jawapan dan kepastian daripada Ashraf.”Tersekat-sekat suara Balqish antara dengar dan tidak. “Erm...tentang kita. Hubungan kita?Ashraf betul-betul serius ke berkawan dengan Balqish? “ Lega hati Ashraf,hanya itu saja soalan yang Balqish tanya. “Balqish, sejak kita mula bertemu hati Ashraf dah tertarik dengan Balqish. Hati Ashraf kata inilah gadis yang aku cari untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak-anakku.. Ahsraf berjanji suatu hari nanti Ashraf akan jadikan Balqish permaisuri dalam hidup Ashraf. Tapi bukan waktu yang terdekat ini,bagilah peluang pada Ashraf untuk menyelesaikan masalah Ashraf.” Kata Ashraf panjang lebar. Dia tidak mahu menghampakan perasaan buah hatinya itu. Dia juga tak sanggup kehilangan Balqish. Begitu juga Balqish tak sanggup kehilangan Ashraf. Bagi Balqish dia tidak mahu berkawan lama-lama. Jika masing-masing sudah menyukai antara mereka, harapannya agar mereka dapat mendirikan rumahtangga. Tetapi bagi Ashraf, dia perlu menyelesaikan masalahnya dahulu sebelum menikahi Balqish.



Pertemuan itu merupakan titik permulaan kesunyian hubungan mereka. Tanpa berbalas SMS, tanpa panggilan telefon, hubungan mereka semakin sunyi. Mungkin masing-masing menilai tentang hubungan mereka. Tetapi Balqish tidak boleh berdiam diri, membisu tanpa kata, dia tekad untuk bertemu Ashraf. Balqish mahu Ashraf memikirkan tentang hubungan mereka dengan lebih serius. Balqish pasti akan teringat pesan abah selepas mereka sekeluarga solat berjemaah. “Balqish, abah nak tanya sikit. Balqish dah habis belajar kan,dah dapat kerja. Balqish tak ada kawan lelaki ker? Abah nak juga tengok anak abah ni naik pelamin.” Abah berkata berbasi-basi.”Kalau dah ada,bawalah jumpa abah.” Balqish hanya tunduk malu memandang tikar sejadah. Malu juga bila abah buat pertama kali bertanyakan tentang kawan lelaki. Balqish antara yakin dan ragu untuk menjawab soalan abahnya. Kalau kata dah ada, tapi Asraf tidak bersedia berjumpa abahnya, bagaimana? Kalau jawapannya tidak, dia sudah berbohong dengan abahnya tentang Ashraf. “Erk..dah ada, bah. Tapi kami plan tak nak kawin lagi.” Itu sahaja jawapan yang termampu dikatakan oleh Balqish. “Tak apalah kalau tak plan nak kawin lagi, tapi abah harap kamu tidak berkawan lama-lama sangat. Kalau sudah cukup semuanya, apa yang hendak ditunggukan lagi. Perbualan dengan abah pada malam itu tamat disitu sahaja.



Hari ini merupakan hari pertama umat islam berpuasa. Balqish dan Ashraf bersetuju untuk berjumpa dan berbuka puasa bersama. Hari ini juga Balqish mahu mendapatkan kata putus dari Ashraf tentang hubungan mereka. Kebiasaan mereka akan makan dikedai mamak. Walaupun Balqish tidak berapa gemarkan masakan mamak,demi buah hati yang disayangi diturutkan juga dan ditelankan juga makanan ke tekaknya. Sambil menunggu azan maghrib berkumandang, Balqish mengambil kesempatan bertanyakan tentang hubungan mereka kepada Ashraf. “Erm..Ashraf,kalau Balqish tanya jangan marah ye.” Kata Balqish sambil menguis-nguis nasi di pinggannya. “Kalau Balqish yang tanya takkan lah Ashraf nak marah. Balqishkan buah hati Ashraf” Sambil menatap wajah Balqish yang putih gebu. Wajah lembut itulah yang didambanya setiap hati untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak-anaknya. “Ermm..Ashraf,lama lagi ke perlu Balqish tunggu Ashraf untuk berjumpa dengan mak dan abah Balqish?” Dengan suara yang paling lembut dan perlahan Balqish bertanya supaya hati Ashraf tidak tersentak.”Sabarlah, sayang....Sabar ya.” Itu sahaja yang terkeluar daripada mulut Ashraf. “Tapi sampai bila? Sampai bila kita hanya berkawan dan berjumpa tanpa ada ikatan yang sah?”Ashraf pula jadi buntu memikirkan jawapan yang sesuai supaya Balqish bersabar. Ashraf hanya membisu, tiada kata yang dapat dikeluarkan dari mulutnya.



Selepas mereka berbuka puasa, Ashraf mengajak Balqish ke masjid berhampiran menunaikan solat maghrib. Sikap Ashraf yang tidak betah melengahkan solat membuatkan hati Balqish berbolak-balik tentang keputusannya. “ Ashraf, kalau Asraf tidak bersedia lagi untuk berjumpa dengan abah dan mak Balqish, Balqish rasa kita ‘break’ dulu hubungan kita. Bukan balqish tak sayang Ashraf tapi biarkan Balqish tenang dulu dan biarkan Ashraf menyelesaikan masalah Ashraf dulu. Lepas ni kalau kita ditakdirkan ada jodoh kita sambung semula. Buat masa sekarang Balqish rasa kita jadi sahabat biasa sahaja.” Balqish menahan tangisannya supaya tidak disedari oleh Ashraf. Bukan mudah untuk dia membuat keputusan ini. Melukai hatinya dan juga insan yang disayanginya, Ashraf. Ashraf juga menahan sebak,mengapakah begini berakhirnya hubungannya dengan Balqish. Walau dia bisa bersahabat dengan Balqis, tapi keputusan Balqish membuatkan hatinya sebak. Ashraf tidak segan silu menangis dihadapan Balqish. Begitu juga Balqish. Hati mereka tidak rela hubungan mereka putus. “Ya Allah, ampunilah dosaku. Hambamu yang kerdil ini telah melukakan hati insan yang terlalu baik denganku.” Rintih Balqish di dalam hati. Terbayang dimata Balqish pertama kali mereka berjumpa di sebuah Gerai Satey. Pasti tempat itu menjadi memori dan kenangan untuk Balqish dan Ashraf. Pada waktu itu juga, Ashraf membayar makanannya termasuklah makanan yang dikirim oleh kawan serumahnya. Kata Ashraf dia belanja sempena hari lahirnya. Sungguh indah kenangan itu.



Bersambung.......